Pages

Saturday 12 October 2013

Bunga Kertas - Media Penanaman

Bahan untuk membuat sendiri media tanaman - tanah (kiri), habuk kelapa
 (kanan/atas), bahan organik (kanan/tengah), pasir konkrit (kanan/bawah)

Media Tanaman:
Pada umumnya, bunga kertas boleh ditanam dikebanyakkan jenis tanah. Pertumbuhan terbaik walaubagaimana pun adalah tanah yang berstruktur ringan, mempunyai saliran yang baik dan mengandungi bahan organik yang tinggi. Tanah yang sesuai dengan tanaman lain juga sesuai bagi bunga kertas.

Walau bagaimanapun, bagi penanaman dalam bekas seperti pasu dan raga, pemilihan media yang sesuai sangat penting kerana ruang untuk pertumbuhan adalah terhad. Media yang digunakan hendaklah diubahsuai agar mempunyai sifat fizikal dan kimia yang sesuai untuk pertumbuhan maksimum pokok.  Media tersebut seharusnya tidak bertakung air, dapat mengekalkan kelembapan sehingga masa pengairan yang berikutnya dan mengekalkan baja untuk kegunaan pokok.

Pada umumnya, tanah biasa tidak sesuai untuk pertumbuhan optimum kerana ianya tidak mempunyai pengudaraan dan saliran yang baik.  Sehubungan dengan itu, beberapa media tanpa tanah telah dimajukan dan terdapat dipasaran.  Kebaikan media ini ialah ianya bebas dari penyakit, perosak dan juga rumpai.

Campuran Sendiri:
Walau bagaimanapun, media untuk pertumbuhan yang baik boleh dicampur sendiri dengan menggunakan tanah lapisan atas (bukan tanah liat), pasir kasar (pasir untuk konkrit) dan bahan organik seperti sekam padi reput dan habuk sabut kelapa.  Pasir digunakan untuk meningkatkan saliran dan bahan organik digunakan untuk mengekalkan kelembapan. Bahan organik seperti kompos juga boleh digunakan.  Kompsosi yang boleh digunakan adalah seperti berikut:
  • 3 bahagian tanah lapisan atas
  • 1 bahagian pasir kasar (pasir konkrit)
  • 1 bahagian bahan organik habuk sabut kelapa dan 
  • 1 bahagian bahan organik sekam padi reput
Bunga kertas dan juga tanaman lain sangat sensitif terhadap keasidan tanah (acidity). Pertumbuhan bunga kertas adalah terbaik pada pH 6.0 - 6.5.  Kapur hendaklah dicampur untuk menaikan pH jika perlu.

Nota: 
Pastikan tidak ada air yang bertakung didalam bekas penanaman ketika siraman dibuat.


No comments:

Post a Comment